1. Gemuk kena kencing manis
Penjelasan bagi perkara ini adalah mudah. Bila lemak badan meningkat, ia akan menyebabkan satu hormon iaitu hormon leptin menjadi tinggi. Hormon leptin ini dihasilkan oleh sel lemak di dalam badan.
Apabila hormon leptin ini tinggi, ia akan menyebabkan fungsi hormon insulin pula terganggu. Perkara ini dipanggil sebagai kerintangan insulin(insulin resistance). Hormon insulin ini salah satunya berfungsi menjadi kunci untuk membenarkan gula dalam darah masuk ke dalam sel badan.
Apabila insulin tidak dapat berfungsi dengan sempurna, ia akan menyebabkan gula tidak dapat masuk ke dalam sel dan terkumpul di dalam saluran darah. Ini menyebabkan bacaan gula dalam darah tinggi.
Sebab itu untuk merawat atau menyembuhkan kencing manis jenis ini, pesakit hanya perlu menurunkan berat badan mereka hingga ke berat badan yang ideal.
Apabila berat badan berkurangan, maka hormon leptin pun berkurangan dan insulin dapat berfungsi dengan biasa dan perkara ini telah terbukti menyembuhkan kencing manis pada mereka yang berlebihan berat badan
2. Pesakit gemuk jadi kurus bila kena kencing manis.
Jadi ada pula sesetengah pesakit ini ketika mula kena kencing manis, dia pada ketika itu mempunyai berat badan yang berlebihan. Tetapi setelah beberapa tahun kena kencing manis, berat badannya susut sendiri dan kencing manisnya pula bertambah teruk. Bacaan gula tidak terkawal. Dahulunya ambil ubat makan untuk kencing manis, sekarang ini pula terpaksa mengambil suntikan insulin.
Sebenarnya pesakit seperti ini selalunya telah mengalami kencing manis yang tidak terkawal pada waktu yang lama. Pesakit ini pada mulanya mengalami masalah kerintangan insulin sahaja dimana insulin tidak dapat berfungsi dengan normal.
Perkara ini akan menyebabkan pankreas cuba menghasilkan dengan lebih banyak insulin daripada biasa. Disebabkan pankreas dipaksa dengan begitu lama untuk menghasilkan insulin, akhirnya sel di bahagian pankreas mati dan menyebabkan insulin tidak mampu atau kurang dihasilkan oleh pankreas yang akan membawa kepada komplikasi yang lain.
Hormon insulin ini ada lawannya iaitu hormon glucagon. Hormon insulin digunakan untuk merendahkan kandungan gula dalam darah. Manakala, hormon glucagon ini pula berfungsi untuk menambah kandungan gula atau kompaun yang boleh digunakan sebagai tenaga di dalam darah.
Apabila hormon insulin berkurangan atau tiada, maka hormon glucagon akan menjadi lebih dominan. Salah satu kesan hormon glukagon ini adalah ia akan menyebabkan penguraian lemak dalam badan untuk menjadi kompaun yang boleh digunakan sebagai tenaga dalam badan iaitu ‘ketone body’.
Disebabkan perkara ini, ia akan menyebabkan lemak dalam badan pesakit diuraikan menjadi ‘ketone body’. Pesakit yang dahulunya gemuk menjadi kurus kerana kurangnya penghasilan hormon insulin dan juga hormon glukagon menjadi dominan di dalam badan.
Bagi pesakit yang telah mencapai tahap ini, kencing manisnya tidak akan sembuh walaupun berat badannya telah berkurangan. Ini kerana pankreasnya sudah tidak dapat menghasilkan insulin lagi.
3. Kena kencing manis walaupun kurus
Ada juga yang menyatakan sesetengah daripada mereka yang kurus masih terkena kencing manis. Jadi ada yang tertanya kenapa perkara ini berlaku.
Para pembaca perlu tahu bahawa kencing manis ini terdapat pelbagai jenis. Jenis-jenis yang selalu diperbincangkan adalah:
1) Type II Diabetes mellitus
Majoriti pesakit selalunya mengalami kencing manis jenis ini dan kebanyakkan pesakit adalah mereka yang obese. Punca kepada kencing manis jenis ini adalah disebabkan berat badan yang berlebihan menyebabkan insulin tidak dapat berfungsi dengan normal
Selalunya pesakit akan dirawat menggunakan ubat makan terlebih dahulu.
2) Type I Diabetes Mellitus
Bagi pesakit jenis ini, ia disebabkan badan mengalami satu jenis penyakit autoimun dimana badan sendiri menghasilkan antibodi yang menyerang sel pankreas. Disebabkan sel pankreas iaitu sel ‘beta’ ini mati, maka penghasilan insulin terhenti.
Hasilnya pesakit tidak mempunyai insulin untuk menurunkan gula dalam darah menyebabkan gula menjadi tinggi.
Penyakit ini selalunya berlaku ketika seseorang itu masih kanak-kanak lagi dan ia tidak mengira sama ada pesakit ini kurus ataupun gemuk. Kedua-duanya berisiko untuk mengalami diabetes jenis ini dan ia juga boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kurus disebabkan diabetes jenis ini.
Bagi pesakit jenis ini, selalunya doktor akan terus mula memberikan suntikan insulin kepada pesakit untuk rawatan kencing manis tersebut.
3) Latent Autoimmune Diabetes in Adult(LADA)
Ini adalah jenis kencing manis yang susah untuk dikesan. Ia sama seperti Diabetes type I iaitu terdapat antibodi yang merosakkan sel pankreas. Cumanya ia berlaku pada orang dewasa.
Selalunya pesakit akan mengalami kencing manis terlebih dahulu walaupun berat badannya tidak obes. Pada awalnya pesakit akan dirawat menggunakna ubat makan terlebih dahulu.
Tetapi setelah beberapa tahun, kawalan gula pesakit akan menjadi semakin teruk walaupun pesakit sudah cuba untuk mengawal permakanannya dan walaupun berat badannya adalah normal.
Perkara ini berlaku kerana lebih banyak sel pankreas yang telah mati disebabkan serangan antibodi tersebut. Akhirnya badan gagal menghasilkan insulin yang mencukupi menyebabkan kencing manis berlaku dan pesakit memerlukan suntikan insulin.