Selasa, 10 Mei 2016

BUAH PINGGANG

Kesihatan bergantung pada ginjal sempurna

Bayangkan selepas bertemu doktor untuk membuat pemeriksaan, dia memberitahu ada sesuatu tidak kena dengan buah pinggang anda dan memerlukan rawatan segera.
Mungkin anda tertanya-tanya dan berfikir kenapa anda tidak pernah terasa sakit atau tidak selesa sebelum ini?
Sebenarnya situasi ini bukanlah luar biasa kerana penyakit buah pinggang biasanya tidak menunjukkan sebarang simptom pada peringkat awal.
Selepas fungsi buah pinggang hanya tinggal 15 hingga 30 peratus sahaja barulah pesakit akan merasai kesakitan dan gejala kelesuan, kaki bengkak serta hilang selera makan sehingga memaksa pesakit mendapatkan rawatan.

Secara amnya fungsi utama buah pinggang adalah menapis darah bagi membuang air, garam berlebihan dan bahan kumuh bertoksin dari tubuh.
“Fungsi utama lain adalah membina beberapa jenis hormon yang mengawal beberapa fungsi tubuh seperti pengawalan tekanan darah dan pembinaan sel darah merah.
“Apabila buah pinggang atau ginjal mengalami kerosakan, ia sudah tentu mengganggu kualiti hidup dan menjadi masalah kesihatan yang menakutkan penghidapnya,” 
Terdapat pelbagai faktor menyumbang kepada kerosakan ginjal. Sebab paling utama penyakit kencing manis, darah tinggi, keradangan buah pinggang yang biasa dialami bagi mereka yang berusia 50 tahun ke bawah serta pengambilan ubat-ubatan terutama ubat tahan sakit dalam tempoh terlalu lama.

Terdapat salah faham dalam kalangan pesakit buah pinggang yang mengatakan ubat darah tinggi dan kencing manis yang diambil setiap hari menjadi punca kerosakan buah pinggang, tapi sebenarnya tidak.

“Ia sebenarnya berpunca daripada pengabaian penjagaan penyakit kencing manis dan darah tinggi selama bertahun-tahun yang akhirnya menyebabkan berlaku kerosakan buah pinggang.

“Walaupun pesakit mengambil ubat, penyakit kencing manis dan darah tinggi memerlukan strategi perawatan daripada pelbagai sudut.

“Ini termasuk gaya hidup, pemilihan makanan dan juga penurunan berat badan yang mendatangkan banyak kebaikan kepada pesakit,”