SAKIT LUTUT
Osteoartritis lutut merupakan salah satu keadaan biasa yang dialami pesakit-pesakit di klinik ortopedik.
Pesakit-pesakit ini akan mengadu kesakitan pada kedua-dua belah lutut dan kadang-kala ada pesakit yang hadir lewat sudah mempunyai kecacatan lutut. Osteoatritis boleh digolongkan sebagai Osteoatritis Primer apabila tiada faktor kejadian awal yang jelas atau Osteoartritis Sekunder apabila terdapat patologi awal pada sendi yang terlibat.

Penyebab
Terdapat pelbagai faktor yang boleh membawa kepada Osteoartritis. Penuaan ialah salah satu sebabnya. Dengan peningkatan umur, rawan akan kehilangan air dan kandungan “proteoglycans” lantas mengurangkan keanjalannya dan menjadikannya lebih lemah. Trauma atau penyakit keradangan pada masa lalu seperti artritis septik dan artritis reumatoid boleh merosakkan rawan artikular dan menyebabkan perkembangan awal Osteoartritis. Kecacatan genetik pada sintesis kolagen jenis II juga dibabitkan dalam perkembangan keadaan ini.
Terdapat empat ciri-ciri patologikal utama pada x-ray pesakit-pesakit yang menghidap Osteoartritis:
- Penyempitan ruang sendi
- Pembentukan sista subkondral
- Skeloris permukaan artikular
Pada peringkat awal, berlakunya pelembutan dan pemfibrilan pada rawan artikular. Kejadian ini diikuti penghuraian progresif bahagian rawan yang membawa kepada pendedahan tulang dibawahnya. Sementara itu, di hujung sendi, terdapat pembentukan osteofit atau beberapa pertumbuhan keluar tulang-tulang kecil. Tulang dibawah rawan yang rosak adalah padat dan sklerotik dan biasanya terdapat satu atau lebih sista yang mengandungi bahan pekat bergelatin sekelilingnya. Perkara ini berlaku akibat pembentukan tulang baru menggantikan kehilangan tulang yang lama disebabkan proses penghuraian.